“Kau jugak yang degil. Dulu abah suruh kau kahwin dengan si Malik tu tapi kau tak nak. Kononya hati kau belum terbuka lah itu lah ini lah. Kau nak sangat budak keparat tu. Kau tengok sekarang apa jadi. Huh. Dasar Penyangak! Kalau kau kawin dengan Malik, kau dah jadi bini Ustad sekarang.”

 

            “Mak dah nasihat pada kau dulu. Ita tak nak dengar. Ita nak juga sehidup semati dengan si Kamal tu. Kau kata kau boleh ubahkan perangai dia? Sekarang apa jadi? Mak kesiankan Zizi. Budak tu tak berdosa tapi asyik jadi sasaran panas baran suami kau tu.”

 

            “Mak, Abah! Itu kan semua dugaan Tuhan. Masalah Ita tahulah Ita selesaikan. Lagipun abang Kamal tetap suami Ita yang sah kan? Dah lah Mak, Ita datang ni pun pasal si Zizi dah rindukan neneknya. Ita balik dulu ya Mak. Nanti abang Kamal balik Ita tak de rumah pula.”

 

            “Susah-susah kau tinggalkan sudah si Kamal penyangak tu. Daripada hidup kau sengsara lebih baik berjanda!”

 

            “Abah!”

 

            Ita terus mengangkat kaki lalu keluar dari rumah Bapanya, Pak Leh. Ita tidak sanggup mendengar cemuhan dari ibu-bapanya. Ita sedar dia yang telah memilih pasangan hidupnya sendiri dan akan menanggung setiap apa yang terjadi padanya hanya kerana cintanya yang lama terjamin sewaktu berada di bangku sekolah lagi. Ibu-bapanya tidak merestui perhubungan antara Ita dan Kamal. Namum, Ita tetap berdegil dan mahu sehidup semati dengan Kamal yang kini sudah menjadi suaminya selama 9 tahun dan mempunyai seorang cahaya mata Zizi yang berumur 8 tahun.

 

            Ita tidak sangka perangai suaminya semakin teruk. Dahulu, sewaktu bercinta bermacam-macam Kamal janji pada Ita. Kamal berjanji akan menjaga Ita dan membina sebuah mahligai yang bahagia bersama Ita. Ita, yang asyik mendengar kata-kata manis, berbunga-bunga dari mulut Kamal terhasut lalu sanggup hidup semati dengannya walau apa pun terjadi.

 

            “Ita, Kamal terlalu mencintai Ita. Kamal tak sanggup berpisah dengan Ita. Kamal janji Kamal akan membahagiakan hidup Ita. Kita kahwin eh Ita?”

 

            “Bu, Bu,” Zizi, anak Ita mengejutnya dari lamunan.

 

            “Ibu kenapa nangis?”

 

            “Tak ada apa- apa sayang. Yok balik. Kita naik teksi aje lah,” Ita mengesat air matanya.

 

*****************************

           

“Eh, Abang dah balik? Mak dan Abah kirim salam,” kelam kabut Ita salam Kamal sesampainya di rumah.

 

            “Eh Ita! Kau tak reti duduk rumah eh? Aku balik dah berapa jam, kau masih di luar merayap! Pergi rumah Mak tu buat apa? Ngadu hal rumah lah tu?” Kamal meninggikan suara.

 

            “Zizi rindukan nenek dia. Jadi Ita pergi sekejap. Ita ingat abang balik malam?”

           

            “Dah aku nak keluar!”

 

            “Abang tak solat Jumaat ke?”

 

            “Eh Pompan! Kau jangan nak sibuk-sibuk dengan hal aku eh. Aku nak sembahyang ke tak nak tu aku punya pasal!” Kamal menghentak pintu lalu keluar dari rumah itu.

 

            Ita kecewa. Sungguh kecewa kerana gagal membentuk suaminya yang tidak pernah kenal erti ibadah. Pergelokan hidup Kamal dilumuri dengan dosa. Tapi apakan daya Ita. Sebagai isteri dia harus mematuhi perintah suaminya dan sentiasa berada di sisinya.

 

            “Bu, Bu, bangun. Ayah mabuk lagi ke bu? Bu, Zizi takut. Nanti ayah pukul Zizi,”

 

            “ZIZI! Kenapa mainan kau letak di sini? Nak Ayah buang. Sini kau budak!” jerit Kamal lalu mencampakkan anak patungnya ke arah muka anaknya itu.

 

            “Abang! Kalau nak marah Ita pun jangan lepaskan pada anak kita. Abang, Zizi masih kecil bang. Belum tahu erti kehidupan. Janganlah abang jadikan dia sebagai sasaran. Pukul Ita jangan pukul Zizi Bang,” Ita membela Zizi lalu memeluknya.

 

            “Pergi Mampus dengan anak kau tu!”

 

            Ita tidak mampu berbuat apa-apa. Anak yang kecil itu sentiasa dijadikan sasaran lelaki yang tidak bertanggung jawab itu. Setiap hari, Kamal pulang dengan keadaan mabuk. Arak yang diminumnya sudah menjadi air sehariannya. Untuk memburukkan lagi keadaan, nafkah tidak pernah diberi kepada anak bininya. Setiap pekerjaan yang dilakukan pasti tidak bertahan lama. Majikannya semua tidak tahan dengan perangai Kamal yang panas baran dan asyik dengan araknya yang berbotol-botol.

 

******************************

 

            “Kenapa dengan pipi Zizi? Zizi kena pukul ke?” tanya guru sekolah Zizi.

 

            “Semalam Zizi jatuh cikgu. Cikgu, Zizi nak balik. Ibu dah tunggu di luar. Bye Cikgu.” Zizi cuba menyembunyikan hal sebenar yang dia telah dipukul bantai oleh bapanya, Kamal.

 

            “Bu. Tadi cikgu tanya kenapa pipi Zizi lebam.”

 

            “Zizi cakap apa dengan cikgu?”

 

            “Zizi kata Zizi jatuh. Kan ibu cakap tak baik burukkan keluarga sendiri?”

 

            Ita memeluk erat Zizi.

 

            “Ya nak. Macam mana jahat pun ayah Zizi, dia tetap ayah Zizi kan? Zizi berdoa ya nak semoga ayah Zizi berubah.”

 

            Ita tidak dapat menahan sebak melihat anaknya Zizi yang sentiasa dipukul oleh Kamal. Ita pasrah. Ita tidak tahu apa yang hendak dilakukan untuk berubah suaminya. Ita juga kesal kerana biarkan anaknya Zizi menjadi korban perangai buruk Kamal. Ita tidak mampu untuk melawan suaminya yang sangat dicintai. Ita, yang bersifat lembut sentiasa berdiam apabila dimarahi suaminya. Sampai bila Ita mampu bertahan dengan kehidupannya ini?

 

            “Abang, maafkan Ita kalau Ita bertanya suatu perkara?” Ita cuba berbaik dengan suaminya pada suatu malam.

 

            “Apa dia?” tanya Kamal ringkas sambil membaca suratkhabar.

 

            “Abang, Ita tahu sebagai isteri Ita harus patuh pada cakap suami, tapi Ita harus tegur abang kalau abang silap.” Kamal meletakkan suratkhabarnya lalu merenung tajam ke arah isterinya itu.

 

            Ita tunduk, takut melihat tenungan suaminya yang garang itu.

 

            “Abang, bertaubatlah bang. Kita hidup tak lama. Kalau boleh, demi Ita, demi Zizi abang buanglah tabiat minum arak tu. Kembali pada Allah bang,” Ita menahan sebak.

 

            “Abang kami semua sayangkan Abang,”

 

            Sebelum Ita dapat menyambung perkataanya Kamal menyampuk.

 

            “Ita! Ini kehidupan aku. Aku beri kau amaran. Kau jangan cuba nak nasihat aku. Pergi Jahanam dengan kau punya ibadah! Kalau kau dah tak tahan kau boleh keluar dari rumah ini!” Kamal mengangkat kaki lalu keluar dari rumah itu.

 

            Sikap Kamal yang tidak suka ditegur membuat Ita semakin pilu. Ita pasrah.

 

            “Oh Tuhan. Kau bukalah hati Suamiku untuk kembali ke pangkal jalan. Aku tidak sanggup hidup dengan penderitaan ini,” Ita menangis.

 

            “Bu,” Zizi muncul di pintu bilik Ita.

 

            “Zizi!” Ita memeluk anaknya.

 

            “Bu, Zizi benci ayah. Yok kita pergi rumah nenek bu?”

 

            “Tidak nak. Bersabar ya nak. Sudah nasib kita macam gini nak. Zizi sentiasa berdoa ya nak. Zizi minta ampun pada Allah atas dosa ayah Zizi. Zizi minta Allah tolong Zizi dan Ibu ya nak,”

 

            Anak sekecil 8 tahun itu terpaksa menjalani hidup yang begitu seksa, sentiasa dipukul, dimaki hamun oleh seorang bapa kandung yang tidak berkerimanusiaan, tanpa belaian kasih sayang dari seorang bapa. Ibunya sahaja yang dapat Zizi mengadu. Namum, walaupun mereka hidup dengan penuh kesengsaraan, Ita tetap bersabar dan sentiasa mengajar anaknya untuk kembali pada Allah swt.

 

****************** 

 

            Pada suatu malam ketika Kamal baru pulang dari kedai Kopi, Kamal terdengar suara anaknya di dalam bilik Zizi. Kamal membuka pintu bilik Zizi.

 

            “Oh Allah. Tolonglah Zizi. Ampunkan dosa ayah Zizi. Jadikan dia seorang  yang baik. Kesiankan lah Ibu, Zizi,” Zizi, dengan telekung membungkusi tubuh kecilnya itu, duduk di atas sejadah kecil, menangis tersedu-sedu sambil menadahkan tangannya berdoa  yang pernah diajar oleh Ita.

 

            Kamal mendekati Zizi. Tangan kecil yang sedang menadah itu basah dipenuhi air mata seorang insan yang tidak berdosa. Tiba-tiba, Kamal menistiskan air mata yang jatuh ke atas kepala anak kecil itu. Hati kecil lelaki ego itu tersentuh dengan doa anak yang telah dipukul, dimaki hamun. Muncul perasaan kesal di lubuk hati Kamal.

Air mata anaknya telah membuat Kamal sedar. Kamal merendahkan tubuhnya ke arah Zizi. Kamal terus memeluk Zizi lalu meraung.

 

            “Maafkan Ayah Zizi. Maafkan Ayah. Ayah janji tak buat lagi nak,” Kamal tersedu-sedu.

 

            “Zizi sayang Ayah!”

 

            Air mata seorang insan yang masih belum faham erti kehidupan, yang menjadi korban seorang ayah yang zalim telah merubah segala-galanya. Telah membawa seorang manusia durjana ke pangkal jalan. Begitu kuat kuasa sesebuah doa kepada Allah s.w.t

Iklan